Saturday, January 9, 2010

Diagnosis Kanak-kanak Khas

PENGENALAN

Pada 20 dan 23 September 2007, saya telah pergi ke sebuah sekolah yang terletak di negeri Kedah bagi menjalankan satu kajian ke atas seorang murid yang mempunyai masalah ketidakupayaan. Kajian yang telah saya lakukan adalah di Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Buntar, Serdang, Bandar Baru, 09800 Kedah Darul Aman. Sekolah tersebut mempunyai kelas murid-murid normal dan juga kelas murid-murid berkeperluan khas atau pun bermasalah pembelajaran.

Sekolah tersebut mempunyai 2 orang guru pendidikan khas dan seorang pembantu pengurusan murid (PPM) serta 16 orang murid yang mempunyai pelbagai jenis ketidakupayaan. Sebagai contoh, Sindrom Down, Autisme dan Disleksia. Terdapat 2 orang murid sindrom down, 2 orang disleksia, seorang murid autisme dan 5 orang murid yang mempunyai masalah `slow learner’. Selebihnya adalah pelajar yang diinklusifkan separa iaitu seramai 6 orang. Murid-murid ini hanya belajar mata pelajaran bahasa Melayu kerana menurut guru yang telah ditemubual, mereka lemah dalam kemahiran membaca dan menulis. Murid-murid ini terdiri daripada murid-murid tingkatan 2, 3 dan 4.

Bagi murid tingkatan 2, seramai 4 orang diinklusifkan, murid tingkatan 3 seorang dan murid tingkatan 4 juga seorang. Menurut guru, mereka semua diajar menjurus ke arah bagaimana menjawab soalan peperiksaan. Rata-ratanya mereka berusia di antara 13-18 tahun. Murid-murid yang betul-betul lemah serta tidak mempunyai peluang dalam pelajaran akan diajar kepada persediaan selepas sekolah atau pun mereka ditekankan kepada aspek kemahiran. Melalui temubual yang dijalankan, guru mereka menyatakan bahawa murid-murid yang kurang pandai dalam pelajaran akan terus didedahkan bagaimana cara untuk mereka menyesuaikan diri ke alam pekerjaan. Oleh sebab itu, mereka lebih ditekankan ke arah kemahiran yang melibatkan penghasilan kraftangan.

Jadi, sebagai rumusannya, saya amat gembira menjalankan kajian individu ini. Di samping menyiapkan tugasan yang telah diberi, saya dapat banyak pengalaman bagaimana berdepan dengan murid-murid sedemikian serta guru-guru di sekolah tersebut. Apabila melihat murid-murid tersebut, saya dapat merasakan bahawa tugas dan tanggungjawab guru amat besar. Pihak sekolah terutamanya pengetua serta guru-guru yang lain amat mesra dan memberikan kerjasama yang amat baik. Jika suatu hari nanti saya bergelar pendidik, saya akan pastikan bahawa saya merupakan guru yang rajin, baik serta bertanggungjawab terhadap anak-anak didik saya.


TUJUAN KAJIAN

Kajian yang dilakukan adalah bertujuan untuk mengenal pasti apakah jenis-jenis ketidakupayaan kanak-kanak atau murid-murid tersebut. Sebelum menjalankan kajian, saya telah menyediakan senarai semak atau instrumen diagnostik mengenai ketidakupayaan-ketidakupayaan tertentu bagi mengetahui apakah ketidakupayaan pelajar tersebut. Sebagai contoh, masalah pembelajaran Sindrom Down. Apakah ciri-ciri yang boleh dikatakan seseorang itu mempunyai masalah pembelajaran Sindrom Down. Setelah mengenal pasti ciri-ciri yang dimiliki, seseorang itu akan dikenalpasti apakah jenis ketidakupayaan yang dialami.

Selain itu, kajian dijalankan bertujuan untuk menilai sejauh mana tahap pencapaian seseorang kanak-kanak itu. Penilaian pencapaian ini dapat dilihat melalui markah yang diperoleh dalam ujian bulanan yang dijalankan di sekolah. Penilaian pencapaian ini hanya dilakukan terhadap murid-murid yang mengalami masalah `slow learner’ ,autisme dan disleksia. Hal ini kerana, murid-murid yang mempunyai masalah Sindrom Down di sekolah tersebut langsung tidak boleh dinilai dari aspek pencapaian kerana mereka tidak dapat menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Penilaian pencapaian yang dijalankan membolehkan guru-guru menilai kebolehan seseorang murid dan mengetahui kelemahan serta kekuatan murid. Ini penting bagi guru-guru untuk membolehkan guru-guru menyediakan Rancangan Pendidikan Individu (RPI) yang sesuai.

Bukan itu sahaja, melalui penilaian pencapaian yang dijalankan, guru-guru dapat merancang aktiviti-aktiviti pengayaan, pemulihan atau memilih kaedah pengajaran yang sesuai dengan tahap pencapaian murid-murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P& P).


Kajian ini juga bertujuan untuk menilai tingkah laku, mental dan emosi kanak-kanak yang berkeperluan khas. Sebagaimana yang kita ketahui, mereka mempunyai sifat dan sikap yang berbeza dengan murid normal yang lain. Sebagai contoh, pelajar autisme, mereka mempunyai tingkah laku yang agak pelik dan lebih suka bersendirian. Emosi mereka juga tidak menentu. Kadang-kadang mereka akan ketawa, menangis dan bercakap-cakap sendiri. Maklumat yang diperoleh dapat membantu seseorang guru itu untuk menyelidik dan menyelesaikan masalah tingkahlaku, emosi, dan mental kanak-kanak berkeperluan khas. Hal ini kerana, masalah-masalah ini memerlukan cara penyelesaian yang bersesuaian dengan keadaan sebenar murid-murid khas.
















KAEDAH KAJIAN

Dalam kajian yang telah saya jalankan, terdapat beberapa kaedah yang telah saya gunakan. Kaedah-kaedah ini dapat membantu saya dalam menjalankan kajian serta melengkapkan laporan ini. Maklumat-maklumat yang diperoleh lebih tepat dan amat mudah. Di sini, saya telah menggunakan 3 kaedah iaitu:

Pertama, kaedah temubual. Saya telah menemubual beberapa orang guru pendidikan khas bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai masalah-masalah yang dihadapi oleh murid yang dikaji. Selain itu, saya juga sempat menemubual bapa murid berkenaan. Namun begitu, apa yang saya dapati ialah, guru tersebut lebih mengetahui masalah yang dihadapi oleh murid nya itu. Pada pendapat saya, ini kerana masa murid tersebut lebih banyak dihabiskan di sekolah berbanding di rumah. Tambahan pula, guru di sekolah tersebut mempunyai lebih banyak pengalaman dalam bidang pendidikan khas ini. Berdasarkan temubual yang telah dijalankan, saya dapati banyak maklumat yang diperoleh dan mudah untuk difahami. Sewaktu menemubual bapa kepada murid yang mempunyai masalah ketidakupayaan ini, saya lebih memfokuskan mengenai tingkah laku anaknya apabila berada di rumah serta bagaimana anaknya menguruskan diri di rumah.

Kedua, saya telah menggunakan kaedah soal selidik. Soal selidik diedarkan kepada guru-guru pendidikan khas di sekolah tersebut bagi mengisi maklumat-maklumat yang berkaitan dengan murid yang dikaji. Ini memudahkan lagi tugas saya untuk menganalisis serta mengenal pasti apakah jenis ketidakupayaan yang dialami oleh murid tersebut. Saya bersama guru-guru tersebut bekerjasama bagi mengesan dan mengisi senarai semak bagi pelajar berkenaan. Apabila senarai semak mengenai murid dipenuhi, pengesanan akan lebih mudah dilakukan untuk mengetahui sejauh mana tahap perkembangan pelajar yang dikaji.



Ketiga, saya telah menggunakan kaedah pemerhatian. Pemerhatian dilakukan dengan melihat segala perbuatan atau tingkah laku murid yang dikaji. Pemerhatian yang saya lakukan bertujuan untuk mengenal pasti sama ada murid ini bergaul dengan orang lain atau tidak. Selain itu, saya turut memerhatikan tingkah lakunya adakah baik atau sebaliknya. Hal ini kerana, sesetengah murid lain suka mengganggu rakan-rakan mereka yang lain. Melalui kaedah ini juga, kita dapat melihat kelima-lima aspek perkembangan murid yang dikaji. Aspek yang dimaksudkan ialah kognitif, kemahiran berkomunikasi, kemahiran motor, sosial emosi serta pengurusan dirinya. Bukan itu sahaja, kaedah ini dapat memberikan gambaran yang jelas mengenai tingkah laku seseorang murid yang mempunyai masalah ketidakupayaan dan ini memudahkan saya membuat pengesanan dengan lebih jelas lagi mengenai murid berkenaan.

Jadi, jelaslah bahawa ketiga-tiga kaedah ini memainkan peranan yang penting dalam memperoleh maklumat mengenai murid yang dikaji.

















LATAR BELAKANG MURID

Nama murid tersebut ialah Muhammad Aiman bin Mohd. Ali(bukan nama sebenar). Nama gelarannya ialah Mat. Adik Mat dilahirkan pada 09 Oktober 1989 di Hospital Daerah Taiping dan sekarang adik Mat berusia 18 tahun. Adik Mat merupakan anak kesepuluh daripada sepuluh orang adik beradik. Sewaktu Mat dilahirkan, ibunya berusia 43 tahun dan berat adik Mat pada masa dilahirkan ialah 2.1 kilogram sahaja.

Kini, adik Mat belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Buntar, Kedah dalam tingkatan 5. Menurut gurunya, puan Normah Ibrahim, Mat telah bersekolah sejak dari tahun 1 lagi, iaitu ketika usianya 7 tahun. Sewaktu di sekolah rendah, adik Mat bersekolah di Sekolah Kebangsaan Serdang, Pusat yang kini telah bertukar nama kepada Sekolah Kebangsaan Dato Haji Zainuddin. Pada peringkat sekolah rendah, Mat telah dikenalpasti mempunyai masalah dalam pembelajaran dan dia telah ditempatkan di kelas integrasi.

Pada usianya 15 tahun, Mat telah dimasukkan ke dalam kelas PDK(Pemulihan Dalam Komuniti) dan ketika Mat berusia 16 tahun, dia telah ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Buntar sehinggalah usianya 18 Tahun.












LATAR BELAKANG IBU BAPA MURID

Nama bapa adik Mat ialah Mohd.Ali.(bukan nama sebenar). Bapa adik Mat berusia 70 tahun dan bekerja sebagai pekebun. Bapa adik Mat ini dilahirkan di Kedah dan menetap di Kedah sehingga sekarang. Mempunyai 10 orang anak, berbangsa Melayu, beragama Islam dan merupakan warganegara Malaysia. Bapa adik Mat dilahirkan pada tahun 1937. Sebelum ini, bapa adik Mat seorang penoreh getah dan pernah juga bekerja sebagai petani.

Nama ibu adik Mat ialah Zaini binti Omar.(bukan nama sebenar). Ibu adik Mat berusia 61 tahun dan tidak bekerja. Tugasnya hanya menjadi suri rumah sepenuh masa. Ibu adik Mat dilahirkan di Kedah dan menetap di Kedah sehingga sekarang. Ibu adik Mat dilahirkan pada tahun 1947. Mempunyai 5 orang adik beradik dan merupakan anak kedua dalam keluarga.


















PENILAIAN PENGESANAN

Langkah pertama yang telah saya jalankan ialah mengenal pasti apakah jenis ketidakupayaan adik Mat. Jadi, untuk mengenal pasti ketidakupayaan tersebut, saya telah menggunakan penilaian pengesanan.

Sebagaimana yang kita ketahui dan pelajari, penilaian pengesanan merupakan penilaian yang tidak formal yang dilakukan dengan cara pemerhatian. Melalui pemerhatian tersebut, kita dapat menyenaraikan tingkah laku yang diragui serta tanda-tanda ketidakupayaan. Biasanya, penilaian ini dilakukan oleh individu yang terdekat atau individu yang lebih mengenali kanak-kanak atau murid-murid tersebut.

Sewaktu menjalankan penilaian pengesanan ke atas adik Mat ini, saya telah menyediakan satu senarai semak pengesanan bagi memudahkan saya mengenal pasti apakah jenis ketidakupayaan adik Mat ini. Ewaktu kali pertama saya melihat adik Mat, saya berpendapat bahawa adik Mat bermasalah Sindrom Down. Jadi, untuk meneguhkan lagi pendapat saya, saya telah menggunakan senarai semak yang berkaitan dengan ciri-ciri masalah Sindrom Down.

Terdapat lima kategori yang dicirikan sebagai Sindrom Down iaitu bahagian kepala, muka dan leher, bahagian tangan dan lengan, bahagian kaki, bahagian otot dan bahagian badan.

Setelah menjalankan pengesanan terhadap adik Mat, didapati bahagian kepalanya lebih kecil dan agak leper (nipis) pada bahagian belakang. Kepalanya kelihatan agak kecil berbanding saiz badannya yang lebih besar. Namun begitu, mukanya tidak kelihatan rata. Tetapi, saya dapat menjangkakan bahawa adik Mat merupakan murid yang bermasalah Sindrom Down. Bagi ciri seterusnya ialah, jarak di antara 2 mata jauh dan matanya juga sepet. Selain itu, paras telinga adik Mat adalah rendah dan adik Mat mempunyai telinga yang agak kecil (misshape). Pipinya juga agak tembam (moderately fat) dan mempunyai pangkal hidung yang sedikit kemek. Saiz mulut adik Mat adalah kecil dan kelihatan lidahnya lebih besar dan kadang-kadang terjelir keluar. Pertumbuhan giginya juga tidak teratur dan agak lambat berbanding pelajar lain. Pada bahagian lehernya pula, adik Mat mempunyai leher yang agak pendek dan besar.

Ciri-ciri seterusnya yang terdapat pada adik Mat ialah dia mempunyai jari-jemari yang pendek dan kelihatan kontot. Jari kelingking(jari kelima) adik Mat membengkok ke dalam. Sewaktu melihat tapak tangan adik Mat, terdapat hanya satu garis lurus iaitu garisan transversi palmar berbanding dengan kanak-kanak normal yang mempunyai urat di tapak tangan. Jadi, ini sudah jelas membuktikan bahawa adik Mat merupakan seorang yang mempunyai masalah Sindrom down. Bahagian lengannya juga agak pendek.

Pada bahagian kaki pula, didapati jari kakinya agak pendek dan dia mempunyai tapak kaki yang leper. Namun begitu, jarak ibu jari kaki dengan jari kaki tidak jauh terpisah dan tidak begitu ketara. Adik Mat dapat berjalan dengan baik serta boleh melakukan kerja-kerja harian seperti menyapu sampah, menolak kereta tolak yang mengandungi sampah ke tempat pembuangan sampah dan ini jelas menunjukkan dia mempunyai otot yang kuat Oleh itu, adik Mat tidak mempunyai masalah dari segi otot.

Adik Mat juga turut mempunyai ketinggian tubuh badan yang rendah serta perutnya kelihatan membonjol keluar. Namun begitu, menurut gurunya, adik Mat tidak pernah mengalami masalah kesihatan yang teruk atau sebarang masalah perubatan seperti masalh jantung, masalah usus dan lain-lain lagi penyakit yang berkaitan dengan Sindrom Down. Kehadiran adik Mat ke sekolah juga amat baik dan ini menunjukkan bahawa adik Mat jarang mendapat penyakit.

Jadi, sebagai kesimpulannya, penilaian pengesanan yang telah dijalankan ke atas adik Mat mendapati bahawa dia mempunyai ciri-ciri seorang yang bermasalah Sindrom Down. Ini dikukuhkan lagi dengan melihat laporan perubatan yang telah dijalankan oleh Pegawai Perubatan dan Kesihatan Pusat Kesihatan serdang, Kedah Darul Aman. Adik Mat sebenarnya telah didiagnos sebagai seorang yang mengalami masalah pembelajaran iaitu Sindrom Down.
PENILAIAN PERKEMBANGAN

Penilaian perkembangan merupakan perubahan secara kuantitatif yang berlaku secara berterusan sejak lahir hinggalah ke akhir hayat seseorang dan ianya dipengaruhi oleh faktor baka dan persekitaran.

Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, perkembangan ialah perihal berkembang iaitu menjadi maju atau tersebar, membiak, meluas, pertumbuhan serta kemajuan.

Penilaian perkembangan dijalankan bagi menilai 5 tahap perkembangan seseorang kanak-kanak atau murid-murid dari segi kognitif, sosial emosi, motor,yang terdiri daripada motor halus dan motor kasar, bahasa dan komunikasi, yang terdiri daripada bahasa reseptif dan bahasa ekspresif serta perkembangan pengurusan diri.

Sekiranya seseorang kanak-kanak atau individu itu tidak berupaya berkembang secara normal, guru-guru boleh serta harus menjalankan proses intervensi awal untuk membantu kanak-kanak tersebut berkembang mengikut tahap umurnya walaupun tidak sepenuhnya.


TUJUAN PENILAIAN PERKEMBANGAN

Salah satu tujuannya ialah, menilai perkembangan kanak-kanak atau seseorang individu. Sebagaimana yang kita tahu, penilaian merujuk kepada dimensi perkembangan yang meliputi aspek kognitif, sosiol emosi, motor, bahasa dan komunikasi serta jagaan diri. Melalui penilaian , guru-guru dapat menyediakan satu laporan atau pelan tindakan yang sewajarnya kepada kanak-kanak yang dikaji sekiranya kanak-kanak itu mempunyai sebarang ketidakupayaan.

Selain itu, penilaian dilakukan bertujuan untuk mengesan kekurangan kanak-kanak atau murid yang dikaji. Setelah melakukan penilaian, guru dapat mengesan sebarang kekurangan kanak-kanak. Pada pandangan mata kasar, mungkin kanak-kanak itu kelihatan normal, tetapi setelah menjalankan penilaian, kemungkinan kanak-kanak tersebut mempunyai masalah. Sebagai contoh kanak-kanak atau murid-murid disleksia. Mereka pada luarannya seperti kanak-kanak normal yang lain. Namun hakikatnya, mereka adalah Disleksia.

Penilaian perkembangan dijalankan bagi membolehkan para guru atau pihak ibu bapa mengambil langkah awal untuk meningkatkan tahap perkembangan kanak-kanak tersebut. Mereka yang mempunyai ketidakupayaan tidak bermaksud mereka itu mengalami perkembangan yang tersekat pada keseluruhannya, tetapi hanya pada aspek yang dikaji.

Walaupun mereka mengalami ketidakupayaan-ketidakupayaan tertentu, mereka mempunyai kelebihan pada bidang lain. Sebagai contoh, mereka mungkin sangat kreatif dalam menghasilkan lukisan atau kraftangan. Oleh itu, penilaian penting agar guru dapat mengetahui di mana potensi dan bakat yang dimiliki oleh kanak-kanak tersebut bagi membantu mereka mengembangkan bakat semulajadi mereka ke tahap yang lebih baik.

Selain itu, penilaian perkembangan dijalankan bagi mengelakkan masalah dalam pembelajaran kanak-kanak daripada terus berlarutan serta dapat membantu mengurangkan masalah kanak-kanak tersebut melalui program intervensi.(Kementerian Pelajaran Malaysia),2003.









PERKEMBANGAN KOGNITIF ADIK MAT

Mengikut senarai semak perkembangan Prof. Dr. See Ching Mey, 2007, yang diadaptasikan daripada 3 jenis senarai semak iaitu Go To Focus Developmental Checklist, Satellite Family Child Care developmental Checklist and Macquarie Developmental Skills Inventory, perkembangan kognitif adik Mat berfungsi dalam lingkungan umur tahap pra operasi iaitu lingkungan umur 2 hingga 7 tahun. Menurut guru yang ditemubual ,adik Mat mempunyai tahap perkembangan kognitif yang amat lemah. Berdasarkan senarai semak yang digunakan , adik Mat didapati berfungsi pada tahap umur 2 hingga 3 tahun berbanding umur sebenarnya adalah 18 tahun. Dapat dilihat di sini bahawa adik Mat sukakan barang-barang permainan dan sewaktu menjalankan pemerhatian ke atasnya, saya dapati adik Mat sering mengeluarkan barang permainan daripada beg sekolahnya. Seabagai contoh, kad-kad gambar kartun, pistol mainan, kereta mainan kecil dan banyak lagi. Menurut guru yang ditemubual, setiap hari apabila datang ke sekolah, adik Mat akan membawa pelbagai jenis mainan dan ini jelas menunjukkan bahawa adik Mat berada dalam lingkungan usia 2 hingga 3 tahun. Selain itu, adik Mat dapat mengenal dirinya sendiri walaupun di dalam gambar atau album. Adik Mat juga suka mengikut atau membuat bulatan. Adik Mat juga merupakan seorang murid yang rajin. Setiap hari dia akan menyapu sampah serta membersihkan kelas. Adik Mat hanya dapat mengenal satu warna sahaja. Melalui senarai semak yang dijalankan, didapati adik Mat mempunyai kekerapan boleh melakukan sesuatu pada tahap umur 2 hingga 3 tahun. Senarai semak dinilai dengan nombor 1 hingga 5. Semakin besar nombor, semakin kerap adik Mat boleh melakukannya. Begitulah sebaliknya, nombor 1 bermaksud tidak pernah . Jadi, jelas di sini berdasarkan senarai semak, adik Mat mempunyai kekerapan nombor 4 dan 5 pada tahap umur 2 hingga 3 tahun.






PERKEMBANGAN SOSIAL EMOSI ADIK MAT

Menurut senarai semak yang sama yang telah diadaptasi oleh Prof. Dr. See Ching Mey, didapati perkembangan adik Mat di dalam domain sosial emosi berada atau tersekat pada umur 3 hingga 4 tahun. Pada mulanya, didapati adik Mat berada pada tahap umur 2 hingga 3 tahun, tetapi, setelah dikenalpasti serta membuat perbandingan adik Mat sebenarnya tersekat pada umur 3 hingga 4 tahun. Perbezaan di antara kedua-dua tahap umur tidak begitu ketara , namun setelah dibandingkan sekali lagi adik Mat sudah dapat melepasi tahap umur 2 hingga 3 tahun di dalam domain ini. Dalam tahap umur 3 hingga 4 tahun, didapati adik Mat tidak dapat bercakap serta bergaul rapat dengan rakan-rakan lain. Pada tahap umur 2 hingga3 tahun , adik Mat sudah dapat berkongsi mainan, menunjukkan keinginan untuk bermain bersama kawan dan dia mempunyai kawan yang baik serta rapat. Walaupun bahasa yang dituturkan oleh adik Mat tidak difahami oleh rakan-rakannya yang lain, dia masih mempunyai rakan sepermainan. Adik Mat juga dapat memahami serba sedikit keperluan orang lain. Sebagai contoh, jika rakannya inginkan mainan, Mat tidak kedekut untuk memberi mainan tersebut kepada rakannya. Dalam tahap umur 3 hingga 4 tahun, adik Mat hanya mampu atau kadang-kadang sahaja dapat melakukan instrumen yang terdapat di dalam senarai semak. Kadang –kadang mewakili nombor 3 dan kebanyakannya adalah nombor 1 dan nombor 2 iaitu mewakili tidak pernah dan jarang. Jadi, jelaslah di sini bahawa perkembangan sosial emosi adik Mat tersekat pada tahap umur 3 hingga 4 tahun.










PERKEMBANGAN MOTOR ADIK MAT(MOTOR KASAR)

Menurut senarai semak yang telah diadaptasi ole Prof. Dr. See Ching Mey, dalam perkembangan motor adik Mat, dia berada pada tahap umur 4 hingga 5 tahun didalam domain motor kasar. Adik Mat dapat melakukan banyak perkara dan kerap menunjukkan nombor 5 iaitu sangat kerap. Dapat dilihat di sini bahawa adik Mat mampu melakukan banyak aktiviti yang melibatkan pergerakan motor kasar. Di sekolahnya, pada setiap hari dia akan membersihkan halaman kelas serta menyapu dan mengutip sampah. Adik Mat juga mampu membawa kereta tolak yang berisi sampah untuk di buang ke tempat pembuangan sampah berhampiran kelasnya. Bukan itu sahaja, walaupun adik Mat mempunyai masalah Sindrom Down, dia mempunyai perkembangan motor kasar seperti kebanyakan rakan-rakannya yang lain seperti disleksia serta rakan pelajar yang normal. Sewaktu di dalam kelas adik Mat ditugaskan untuk menyapu papan putih serta menyusun buku di atas rak . Di dapati, melalui pemerhatian saya, dengan mudah sahaja adik Mat menyapu papan putih itu ke kanan dan ke kiri. Otot pada tangannya agak kuat kerana adik Mat dapat menyusun buku ke atas rak dengan tersusun sekali. Jadi, kesimpulannya perkembangan motor kasar adik Mat amat baik dan saya merasakan bahawa adik Mat dapat melakukan aktiviti lebih daripada itu kerana saya hanya menilai berdasarkan senarai semak yang telah disediakan dan itu sudah cukup membuktikan bahawa adik Mat mempunyai perkembangan motor yang baik.











PERKEMBANGAN MOTOR ADIK MAT(MOTOR HALUS)

Bagi perkembangan motor halus, adik Mat berada pada tahap umur yang lebih kurang sama dengan perkembangan motor kasar. Perkembangan motor halus adik Mat berada pada tahap 4 hingga 5 tahun juga dan ianyan didapati sama dengan perkembanagan motor kasar adik Mat. Kebiasaannya, perkembangan motor halus tidak boleh melebihi perkembangan motor kasar, tetapi jika ianyan sama, tidaklah menjadi masalah. Hal ini kerana, perkembangan motor kasar akan membentuk kemahiran motor halus. Apabila adik Mat dapat melakukan banyak aktiviti yang melibatkan motor kasar, secara automatik adik Mat akan dapat melakukan pergerakan yang melibatkan motor halus. Berdasarkan senarai semak yang dirujuk, tahap perkembangan motor halus adik Mat berada dalam tahap umur 4 hingga 5 tahun. Adik Mat mampu menggunakan gunting, melukis, memegang pensel dengan baik serta boleh melakukan perkara-perkara yang melibatkan motor halus seperti jari-jemarinya dan bermacam-macam lagi seperti memasukkan benang ke dalam jarum dan apa yang menarik perhatian saya ialah, sewaktu saya mula-mula sampai ke sekolah tersebut, saya dapat melihat adik Mat memasukkan riben yang berwarna –warni ke dalam tudung saji. Riben dimasukkan melalui celah-celah ruang tudung saji dan itu merupakan salah satu terapi untuk meningkatkan kemahiran motor halusnya. Setelah siap, hasilnya amat cantik dan saya ada mengambil gambarnya menyiapkan tudung saji tersebut. Gambar tersebut boleh dilihat di bahagian lampiran. Bukan itu sahaja, saya dapati adik Mat amat berkemahiran dalam melakukan kerja tersebut. Menurut gurunya, setiap hari, adik Mat akan dilatih ke arah kemahiran kerana adik Mat tidak dapat membaca mahu pun menulis.









PERKEMBANGAN BAHASA(RESEPTIF)

Sebagaimana yang kita ketahui, bahasa reseptif merupakan bahasa yang kanak-kanak tidak dapat memproses, memahami, dan mengintegrasi bahasa. Salah satu simptomnya ialah, tidak dapat mengikuti arahan. Bagi adik Mat, dia boleh memahami apa yang disuruh serta diarahkan, tetapi adik Mat tidak dapat meluahkan apa yang ingin dicakapkan. Dia kelihatan hanya tersenyum, mengangguk, menggeleng kepala apabila ingin atau tidak inginkan sesuatu. Menurut gurunya, adik Mat berada pada tahap yang amat lemah jika dibandingkan dengan usianya yang sebenar iaitu adik mat berada pada tahap umur19 hingga 24 bulan. Pada usia yang lebih tinggi iaitu pada tahap 2 hingga 3 tahun, adik Mat langsung tidak dapat membuatnya. Pada tahap 19 hingga 24 bulan hanya sesetengah sahaja yang dapat dilakukan dan itu pun menunjukkan jarang dan kadang-kadang. Sepanjang sya berada di dalam kelas bersamanya, dia tidak pernah untuk bercakap mahu pun membunyikan suara seperti o..,a.. dan lidahnya begitu kelu untuk menyebut sesuatu perkataan. Tetapi, menurut ibu bapa adik Mat sewaktu menggunakan telafon atau menjawab panggilan telefon, Mat mampu membunyikan suara. Adik Mat akan faham apabila saya memberikan contoh dan menyuruhnya membuat atau mengambil kad warana yang sama, adik Mat faham apa yang disuruh jika kita menunjukkan kepadanya satu persatu mengikut urutan dan buat bersama-sama dengannya. Sebagai contoh , aktiviti megenal warna pada kad-kad warna. Jadi, dapat disimpulkan bahawa di dalam domain ini, adik Mat berada pada tahap umur 1 tahun hingga 2 tahun.










PERKEMBANGAN BAHASA (EKSPRESIF)

Bagi bahasa ekspresif pula, adik Mat mengalami kesukaran untuk menggunakan perkataan bagi memformulasikan fikirannya. Jelas dapat dilihat bahawa adik Mat mengalami masalah dalam penggunaan bahasa ekspresif kerana adik Mat amat kurang perbendaharaan kata dan adik Mat langsung tidak dapat bertutur. Menurut gurunya, adik Mat berada di tahap umur bawah daripada 1 tahun iaitu dalam lingkungan umur13-18 bulan. Pada tahap ini adik Mat dapat melambai, senyum ke arah orang yang senyum kepadanya dan kadang-kadang terdengar bunyi seperti sesuatu yang ingin disebut oleh adik Mat, tetapi tidak terkeluar perkataan itu. Saya cuba menunggu untuk melihat reaksi daripadanya, namun tidak ada apa-apa reaksi. Dia hanya tersenyum sahaja. Adik Mat juga tidak dapat menyebut walaupun satu perkataan seperti `nak’, `tak’ dan bila ditunjukkan seperti bahasa isyarat, iaitu mengangguk dan menggelangkan kepala , adik Mat seakan faham. Namun begitu, adik Mat masih mempunyai peluang yang masih cerah kerana adik Mat mempunyai kemahiran dalam membuat kraftangan. Sedikit sebanyak dapat membantunya bergaul dengan orang lain serta belajar sedikit demi sedikit kosa kata baru. Kesimpulannya, adik Mat mempunyai tahap perkembangan bahasa ekspresif pada tahap umur kurang dari 1 tahun.













PERKEMBANGAN PENGURUSAN DIRI ADIK MAT

Sebagaimana yang kita ketahui, Mat secara kronologinya atau umur sebenarnya 18 tahun, namun pengurusan dirinya berada di tahap 4 hingga 5 tahun. Bagi saya, itu adalah sangat baik. Sewaktu membuat pengesanan ini, saya dapati adik Mat merupakan seorang yang kemas dari segi cara berpakaiannya. Bajunya dimasukkan ke dalam seluar dan rambutnya kemas. Menurut senarai semak yang telah ditandakan, adik Mat pandai memakai baju dengan sendiri, menggosok gigi dengan sendiri, membutangkan butang baju, dapat membuang hingus menggunakan sapu tangan serta memakai seluar tanpa bantuan orang lain. Adik Mat juga pandai ke tandas dengan sendiri. Ini menunjukkan bahawa adik Mat mampu menguruskan dirinya dengan baik sekali. Tetapi adik Mat tidak dapat memakai tali leher sendiri kerana adik Mat tidak dikhaskan untuk memakai tali leher. Di sekolah adik Mat, hanya pengawas sekolah sahaja yang memakai tali leher. Jadi, jelaslah di sini bahawa adik Mat mempu menguruskan diri dengan baik dan dia mempunyai tahap pengurusan diri pada umur 4 hingga 5 tahun.

Sebagai kesimpulannya,merujuk jadual di bawah:

DOMAIN TAHAP PERKEMBANGAN
1.Kognitif 2 hingga 3 tahun
2.Sosial emosi 3 hingga 4 tahun
3.Motor
-Kasar 4 hingga 5 tahun
-Halus 4 hingga 5 tahun
4.Bahasa dan komunikasi
-Bahasa Reseptif 1 hingga 2 tahun
-Bahasa ekspresif kurang dari 1 tahun
5.Pengurusan diri 4 hingga 5 tahun



CADANGAN UNTUK INTERVENSI AWAL

Program intervensi awal pada kanak-kanak atau murid-murid yang mempunyai masalah ketidakupayaan tertentu adalah sangat penting. Melalui program ini, kanak-kanak itu akan diberikan perhatian yang khusus bagi mengatasi masalah ketidakupayaan yang dialami. Bukan itu sahaja, di dalam pelaksanaan program intervensi awal ini, semua pihak akan terlibat, bukan sahaja pakar-pakar, guru dan ibu bapa, malah jiran tetangga, rakan-rakan dan pihak-pihak yang berkaitan. Oleh itu, program ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak bagi memastikan masalah yang dihadapi oleh sesiapa sahaja khususnya adik Mat ini dapat diatasi kerana adik Mat dilihat sebagai seorang yang mempunyai peluang yang cerah dalam bidang kemahiran.

Di sini terdapat beberapa cadangan yang saya ingin kemukakan dan ianya merupakan satu cadangan yang mendatangkan banyak manfaat kepada semua pihak di samping membantu golongan yang kurang upaya.

Setelah mengenal pasti seseorang kanak-kanak itu mempunyai ketidakupayaan tertentu, pihak guru itu sendiri yang perlu merujuk kepada ibu bapa dengan segera. Seabagaimana yang kita sedia maklum, pada peringkat tadika atau pra sekolah lagi, seseorang kanak-kanak itu dapat dinilai serta dikesan jika mereka mempunyai ketidakupayaan tertentu. Di sini peranan guru pra sekolah itu sendiri amat penting bagi memastikan kanak-kanak tersebut diberi rawatan atau pemulihan awal. Sebagai contoh, di dalam kes adi Mat ini, saya merasa amat sedih kerana adik Mat seolah-olah tidak dikesan dari awal dan ini menyebabkan perkembangan kognitifnya amat jauh berbeza berbanding dengan umurnya yang sebenar.

Selain itu, kerjasama daripada pihak ibu bapa juga amat penting. Terdapat segelintir ibu bapa yang tidak mahu menerima ketidakupayaan anak-anak mereka apabila guru memberi laporan mengenai anak-anak mereka. Seharusnya, ibu bapa berterima kasih kepada guru kerana dapat mengesan ketidakupayaan anak-anak mereka untuk dirujuk kepada pakar. Setelah mendapat pengesahan daripada pakar, ibu bapa perlu menempatkan anak-anak mereka di sekolah yang sepatutnya kerana itu akan menjamin kehidupan serta masa hadapan yang lebih baik untuk anak-anak mereka.

Saya sangat suka mencadangkan bahawa pihak sekolah mewujudkan satu bengkel dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kebajikan Masyarakat bagi menempatkan murid-murid yang mempunyai kemahiran-kemahiran tertentu untuk mereka mengembangkan lagi bakat mereka. Bengkel tersebut hendaklah dibina berhampiran pusat bandar dan mempunyai pengurusan yang ditadbir oleh orang-orang kurang upaya. Maksud saya, sepenuhnya bengkel itu betul-betul diuruskan oleh mereka. Manakala pihak kementerian dan kebajikan Masyarakat memantau aktiviti-aktiviti mereka. Hasil daripada jualan hasil kraftangan mereka akan dijual dan mereka mempunyai gaji atau upah yang tetap. Ini dapat menjamin kelangsungan hidup mereka dan mereka akan lebih berdikari.

Namun begitu ,apa-apa cadangan yang dikemukakan oleh sesiapa sahaja, jika tidak mempunyai satu perancangan yang baik tidak akan membuahkan apa-apa hasil. Oleh itu, mentaliti masyarakat perlu diubah dan setiap orang haruslah berfikiran jauh ke hadapan bagi memastikan golongann ini tidak terus terabai atau disisihkan masyarakat sedangkan kita hidup bermasyarakat. Ingatlah bahawa kita datang daripada masyarakat dan kita seharusnya kembali serta berkhidmat kepada masyarakat.












KESIMPULAN

Sebagai kesimpulannya, kajian individu ini memberi satu kesedaran kepada saya betapa pentingnya peranan seseorang guru dalam manghadapi cabaran hidup yang penuh dengan pancaroba. Melalui kajian ini, saya dapat sedikit sebanyak pengalaman tentang bagaimana cara membuat penilaian, membuat pengesanan serta belajar untuk menyesuaikan diri dalam komuniti sekolah.

Selain itu, dapat disimpulkan bahawa kanak-kanak khas sememangnya perlu diberi perhatian yang lebih dan tugas guru pendidikan khas sangat berbeza dengan tugas guru normal. Dapat dilihat di sini bahawa, kajian individu ini mendedahkan pelajar-pelajar yang mengambil kos pendidikan untuk mengetahui keadaan sebenar proses pengajaran dan pembelajaran di sekola.

Melalui kajian ini, Sindrom Down merupakan salah satu masalah yang tergolong dalam kategori masalah pembelajaran dan ianyan terjadi akibat berlakunya kekurangan atau kelebihan pada kromosom yang ke 21. Faktor usia seseorang ibu itu sangat mempengaruhi. Jika seseorang ibu itu mengandung pada usia melebihi 35 tahun ke atas, nisbah untuk mendapat anak Sindrom Down adalah sangat tinggi.

Namun begitu, tidak semua kanak-kanak khas yang dilahirkan tidak boleh berjaya. Setiap manusia telah diberikan kekurangan dan kekuatan masing-masing dan seseorang individu itu sendiri yang harus mengubah dirinya sendiri sama ada ingin menjadi baik atau sebaliknya.

Akhir kata, kajian ini banyak meberi manfaat kepada saya sebagai seorang pelajar dan segala tunjuk ajar daripada guru-guru amat berguna dalam menempuhi alam pekerjaan yang sebenar untuk beberapa tahun akan datang.



BIBLIOGRAFI

Atan Long, 1987, Psikologi Pendidikan.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Jamila K.A Mohamed,2005. Pendidikan Khas untuk Kanak-kanak Istimewa. Kuala Lumpur: PTS publication Sdn. Bhd.

Kamus Dewan .2004. Edisi Ketiga. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

2 comments:

  1. Assalamualaikum..
    cikgu firdaus, saya kagum dengan penulisan cikgu yang amat 'detail' berkenaan diaognosis cikgu terhadap kajian cikgu.di sini saya mohon kebenaran untuk kongsi maklumat yang berharga ini.terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Satu kajian kes yang sgt detail...mohon kongsi maklumat yg berharga ini

    ReplyDelete